top of page
  • Writer's pictureSiti Nur Amirah

Ini sebab makanan tradisional semakin dilupakan

Updated: 25 Dis 2022




Lupa kan makanan warisan & tradisional ibarat lupakan tradisi dan identiti diri



Makanan warisan merupakan identiti kita sebagai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Ia berasal daripada amalan dan tradisi nenek moyang kita yang dulunya hidup secara sederhana dan berasaskan pertanian.


Malangnya, ianya semakin lama semakin tidak dikenali oleh generasi muda hari ini. Masakan tidak, lambakan makanan moden viral yang dimasak dengan keju dan bahan proses menyebabkan kita terlepas pandang akan kewujudan dan keunikan makanan warisan yang sukar untuk dimasak dan di cari.


Namun, tidak wajar sekiranya kita lupakan identiti kita, bukan? Oleh itu, ini 3 faktor makanan warisan & tradisional semakin dilupakan:


1. Kaedah penyediaan yang ‘kuno’ dan ‘renyah’


Gaya hidup moden kini menyebabkan kaedah penyediaan makanan warisan dan tradisional kelihatan renyah, kuno dan tidak relevan.

Tambahan pula, penyediaan makanan warisan dan tradisional juga sering kali mempunyai turutan dan pantang larang tertentu, tidak seperti masakan sejuk beku moden yang hanya perlu dimasak dalam air fryer dan ketuhar misalnya.



Tapai. Sumber gambar: Flickr


Menurut Amalan Warisan Masakan Melayu, untuk membuat tapai yang manis secara tradisional contohnya, anda perlu membungkus beras pulut yang telah dikukus dalam daun pisang atau daun getah. Tapai yang telah berbalut itu pula perlu diperam dalam tempayan yang dibalut dengan kain sekurang-kurangnya 3 hari. Turutan dan masa yang lama ini membuatkan tapai 'renyah' untuk dibuat.


Semasa membalut tapai pula, anda dilarang untuk makan sirih, makan makanan masam, dan perlu menjauhi barangan berwarna merah. Sekiranya tidak, tapai yang dihasilkan akan menjadi masam dan berwarna kemerahan.


Sejujurnya, peredaran zaman dan perkembangan teknologi menjadikan turutan dan pantang larang sebegini sudah kurang relevan. Anda kini boleh buat kuih tradisional dengan mudah dan menggunakan alat canggih seperti thermomix juga. Anda mahu lihat cara sediakan tapai atau kuih tradisional lain secara mudah? Komen di bawah.



2. Bahan masakan yang sukar untuk dicari



Nasi ulam utara. Sumber gambar & bahan ulam: blog Kak Yan by Azian Hasan


Tidak dapat dinafikan, ini merupakan cabaran terbesar dalam memasak makanan warisan dan tradisional. Faktor ini jugalah punca sesetengah makanan warisan akhirnya diwartakan sebagai makanan warisan yang hampir pupus di Malaysia.


Untuk membuat nasi ulam utara misalnya, anda memerlukan sekurang-kurangnya 8 jenis ulam ( atau lebih!) untuk digaul bersama nasi sejuk. Malangnya, tidak semua ulam yang kebiasannya digunakan dalam nasi ulam boleh dibeli di pasar raya dan kedai runcit. Ada kalanya, pencarian ulam dan bahan-bahan masakan warisan dan tradisional ini agak mencabar, kalah treasure hunt!

3. Tidak sihat

Makanan tradisional sering kali dikaitkan sebagai punca penyakit dalam kalangan masyarakat kita. Masakan tidak, kebanyakan makanan tradisional seperti kuih muih dan manisan dibuat daripada bahan asas yang tinggi kandungan karbohidrat seperti gula putih, gula merah, santan, tepung gandum, ubi kayu,dan tepung pulut misalnya.


Persepsi masyarakat kita juga sering kali kaitkan makanan sihat dengan makanan barat seperti pasta, ikan salmon, dan quinoa.


Ini adalah mitos sebenarnya. Makanan warisan dan tradisional juga sihat sekiranya ianya dimakan dalam kuantiti karbohidrat, serat, dan protein seperti yang disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia.


Piramid makanan Malaysia. Sumber gambar: portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia


Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, seketul kuih seri muka yang berat sekitar 30g misalnya mengandungi 60 kalori sahaja. Oleh itu, sekiranya anda ingin makan seketul kuih ini, anda perlu seimbangkan dengan buah-buahan dan protein agar anda kenyang dan mendapat khasiat yang seimbang.


Sebenarnya, makanan warisan dan tradisional berpotensi untuk menjadi makanan viral dan trendy sekiranya ia dipasarkan secara kreatif di media sosial. Kadang-kala, kita pun inginkan pilihan makan makanan selain daripada makanan berkeju dan pedas.


Anda rasa, wajar atau tidak peniaga-peniaga streetfood kembali popularkan makanan warisan atau tradisional sebagai menu utama mereka? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen!

26 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page