top of page
  • Writer's picturemajalahkunyah

Prakata

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

Kuih-muih tradisional


Cinta masyarakat Malaysia akan makanan dapat diibaratkan sebagai ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, ianya tidak putus, malah semakin erat seiring dengan peredaran waktu. Masakan tidak, sehingga hari ini makanan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat meskipun ianya dimomokkan sebagai ‘tidak sihat’, dan ‘kolot’ oleh segelintir masyarakat moden.


Namun, tidak dapat kita nafikan bahawa sebahagian besar makanan tradisional semakin dilupakan, dek kerana cara penyediaan yang sukar dan bahan memasak yang susah dicari. Hal ini lantas menyebabkan sebahagian makanan tradisional kita akhirnya diwartakan sebagai makanan warisan hampir pupus oleh Jabatan Warisan Negara.


Majalah Kunyah, seperti foodie di luar sana, gemar akan makanan, dan cintakan keunikan makanan di Malaysia. Oleh itu, kami ingin menyajikan pelbagai jenis makanan tradisional dan warisan masyarakat majmuk di Malaysia kepada pembaca kami. Seiring dengan peredaran waktu, kami juga ingin memartabatkan dan melestarikan makanan tradisi masyarakat dari pelbagai budaya di Malaysia kepada pembaca-pembaca kami.


Cendol


Seiring dengan peredaran masa dan kadar penyakit diabetes dan jantung yang tinggi di Malaysia, kami turut ingin menampilkan versi sihat makanan tradisional. Malah, mengambil kira kepelbagaian budaya masyarakat majmuk di Malaysia, Majalah Kunyah juga akan mengetengahkan makanan budaya lain, dan status halal atau haram makanan budaya lain juga akan dikupas agar makanan budaya lain dapat dinikmati oleh masyarakat muslim di Malaysia.


Akhir kata, Majalah Kunyah merupakan sebuah perkongsian dari pencinta makanan kepada pencinta makanan. Teruskan menyokong kami!

15 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page